KUALA NERUS: Sistem pendidikan tinggi Malaysia yang bertaraf antarabangsa sering dijadikan contoh dan panduan oleh banyak negara di dunia.

Perkara itu diakui oleh Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Prof Dr Ahmed al-Raissouni yang berkata kualiti pendidikan, siswazah dan segala hasil penyelidikan Malaysia telah menjadi contoh kepada bukan sahaja negara-negara Islam malah negara Barat juga.
Selain itu katanya sistem pendidikan tinggi di Malaysia turut dijadikan sebagai rujukan untuk pembangunan pendidikan di negara asalnya, Maghribi.
“Kerajaan Morocco (Maghribi) telah membuat ketetapan supaya mengambil contoh sistem pendidikan tinggi di Malaysia untuk membangunkan bidang pendidikan di negara kami,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian dalam Bahasa Arab yang kemudiannya diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Mengulas lanjut Ahmed al-Raissouni yang juga Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA berkata selain bidang pendidikan tinggi, Malaysia juga dikagumi oleh banyak negara Islam di dunia kerana kejayaan pembangunan sosial, politik, sistem demokrasi dan kehidupan masyarakat majmuk.
Menurut beliau ciri-ciri tersebut menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dan wajar diikuti oleh negara-negara Islam di dunia.
“Walaupun kejayaannya bukanlah 100 peratus, Malaysia memang contoh yang sangat baik dari segi sosial, ekonomi, pendidikan, demokrasi dan masyarakat majmuk,” katanya yang berkali-kali memuji usaha Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, baru-baru ini.